8 ALASAN tidak memulakan simpanan emas

Baru-baru ini saya telah pun membuat kaji selidik mengenai apakah sebenarnya alasan seseorang individu itu untuk tidak memulakan simpanan emas. Saya telah merakamkan sedikit sebanyak persepsi orang ramai dan dari pelbagai sudut latar belakang mereka. Setiap dari mereka mempunyai pelbagai alasan tersendiri dan alasan-alasan mereka ini terikat dengan aktiviti yang mereka sedang lakukan sekarang. Merangkumi golongan pelajar, suri rumah dan isteri dan pekerja makan gaji, keluarga, ini antara 8 alasan mereka untuk tidak memulakan simpanan emas;

 

1. Sedang Belajar –
Mungkin ada di kalangan kita yang masih belajar, bersekolah tinggi atau sedang bertungkus lumus meningkatkan pointer HPNM mereka di mana-mana pusat pengajian tinggi awam mahupun swasta. Bagi sesetengah dari mereka, lebih baik menggunakan wang yang dibiayai itu hanya untuk membeli buku-buku yang berkaitan dengan kursus yang diceburi supaya cemerlang dalam setiap semester atau setiap tahun sahaja. Selain daripada buku, banyak lagi wang mereka dihabiskan untuk keperluan asas bagi seorang pelajar seperti duit rumah sewa, minyak petrol, makan minum, dobi, kertas A4 untuk assignment dan tutorial, photostat nota dan bermacam lagi. Walau cermat mana sekalipun pelajar itu menjaga sistem kewangannya, tetap tidak dapat mereka hindari masalah kewangan pada zaman ini.

 

2. Tiada Wang –

Ini adalah alasan yang paling logik dan berakal. Segala-galanya memerlukan wang. Hendak membuang air pun dikenakan bayaran, manakan pula membeli emas yang beratus-ratus harganya setiap gram. Alasan ini contohnya seperti tiada wang, harga emas mahal sangat, tidak mampu membeli, wang tidak mencukupi dan modal yang sedikit. Alasan seperti ini sepatutnya dielakkan kerana banyak jalan penyelesaiannya, simpanlah duit. Ya, mengapa tidak kita simpan dahulu wang gaji, wang saku atau apa sahaja jenis wang yang kita dapat untuk membeli seketul emas. Peruntukkanlah sebahagian wang yang anda dapat untuk membeli emas. Cubalah dan lihat sendiri hasilnya!

 

3. Takut –

Ini adalah alasan skeptikal bagi sesetengah individu yang berasa sangat takut ditipu. Bermacam jenis penipuan yang menghantui mereka ini. Kebiasaannya mereka sudahpun ditipu oleh sang scammer yang melarat di laman web dewasa ini dan serik untuk mempercayainya lagi. Antara faktor mereka takut untuk memulakan simpanan emas bukan sahaja takut emas yang ditempah tidak sampai ke rumah, barangkali emas yang dibeli itu emas tiruan, takut dicuri atau hilang, dikenakan zakat emas dan tidak mampu untuk sediakan tempat yang paling selamat untuk emasnya. Sepatutnya ketakutan ini haruslah dipandang remeh kerana banyak lagi kaedah berkesan untuk memulakan simpanan emas. Belajarlah tentang selok belok simpanan emas dahulu sebelum membuat pelbagai andaian yang tak munasabah.

 

4. Tidak Yakin Dengan Pelaburan Emas –

Alasan seperti ini merupakan tanggapan kebanyakan orang yang mempercayai wang adalah satu-satunya alat ukuran bagi keselamatan kewangan seseorang. Secara tipikalnya, ini adalah di bawah pengaruh rakan sebaya atau keluarga kolot dan tidak mempercayai tentang pelaburan emas. Mereka sangat percaya bahawa wang boleh digunakan sampai bila-bila sehingga kiamat. Jika memiliki wang yang sangat banyak disimpan di bank, ia dianggap memiliki aset yang paling kukuh dan selamat buat selama-lamanya tanpa memikirkan jangka masa panjang. Bagaimana jika berlakunya peperangan atau inflasi yang teruk? Simpanan wang bukanlah seperti simpanan emas kerana harga emas akan sentiasa meningkat manakala wang sentiasa ada pasang surutnya. Sekurang-kurangnya melaburlah emas walaupun sedikit demi masa hadapan anda sendiri.

 

5. Tiada Masa –

Alasan ini mungkin sama seperti yang digunakan oleh golongan pelajar tetapi ini juga selalunya disuarakan oleh golongan suri rumah wanita mahupun lelaki, yang perlu menjaga anak-anak, menguruskan kerja-kerja di rumah, basuh baju, memasak, mencuci pinggan mangkuk. Selepas selesai semua kerja-kerja tadi, badan pun letih, mulalah rasa mengantuk dan terlelaplah sehingga pasangan anda pulang ke rumah pada sebelah petangnya. Malam pula giliran pasangan untuk diurus dan pada masa yang sama ia juga seorang pelajar. Sudah tentu masa yang ada teramat terhad bagi golongan seperti ini untuk memulakan simpanan emas. Masa bukanlah masalah untuk tidak memulakan simpanan emas ini kerana ia boleh diuruskan bersama-sama pasangan.

 

6. Tidak Tahu Caranya Menyimpan Emas –

Ini juga merupakan faktor utama penggiat penyimpan emas melebarkan sayap, meluaskan ilmu penyimpanan emas serata tempat. Ini bertujuan mengelakkan golongan yang tidak tahu selok belok emas ini rugi bertahun-tahun lamanya dengan membuat pelaburan selain daripada simpanan emas. Ada golongan mereka yang membuat pelaburan selain dari emas menyesal kerana lambat menerima hakikat bahawa menimpan emas lebih menguntungkan daripada pelaburan lain seperti ASB, saham syarikat, insurans dan sebagainya. Satu lagi alasan yang lebih kurang sama adalah mereka tidak tahu strategi ‘membunuh’ untuk menjadikan pelaburan emas ini sebagai perniagaan sambilan mereka yang boleh dikekalkan turun-temurun.

 

7. Lambat Dapat Untung –

Sebenarnya dalam melabur emas ada pasang surutnya, seperti laut. ada masa harga emas jatuh dan murah, pada masa itulah kita mesti membelinya kerana tidak lama lagi harga emas akan naik semula dan jual pada masa itu juga. Ada di antara kita menggunakan alasan pelaburan emas ini bersifat jangka masa panjang dan menganggap perlu dijual pada masa 10 tahun akan datang, dan diberi kepada anak cucu cicit. Ada juga sesetengah pihak yang cerdik pandai mengikuti arus berita isu semasa dengan mengetahui harga emas tidak melonjak naik-naik lagi. Terakhir kali, peak pada September 2011. Kata mereka, lebih baik dilaburkan dalam pelaburan lain. Ini luahan pelabur yang mengharap keuntungan tahunan katanya.

 

8. Tunggu Masa Yang Sesuai –

Alasan yang terakhir, mereka ini sudah faham dan percaya akan keuntungan menyimpan emas, tetapi mereka ingin menunggu dahulu harga emas turun sedikit lagi. Ini bertujuan untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda ketika mereka ingin jualnya semula.

 

Kesimpulannya, dapatlah saya nyatakan bahawa alasan sahaja tidak dapat membuatkan kita berjaya dalam sesuatu bidang yang ingin diterokai. Cubalah dahulu dan ambillah pengalaman kerana pengalamanlah guru terbaik buat kita. Jadi mulakanlah sekarang menyimpan emas!

post 136

 

Leave a Comment

Your email address will not be published.

CommentLuv badge