Matawang Sebenar ialah Dinar dan Dirham

Dalam Islam mata wang sememangnya berkait rapat dengan kerajaan. Kajian Vadillo (1996) juga menunjukkan bahawa Al-Qurtubi dalam Tafsir Al-Quran beliau telah memberi tafsiran tentang ayat al-Quran yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu.” (An-Nisa (3):59)

Ayat tersebut merupakan perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam tujuh perkara. Perkara pertama ialah penempaan dinar dan dirham dan yang lainnya ialah penetapan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, Jumu’ah, dua Hari Raya dan Jihad. Dalam kata lain, urusan dinar ialah urusan keagamaan dan kedaulatan daulah Islam. Penggunaan dinar melambangkan kepatuhan kepada perintah Allah, bukan semata-mata urusan ekonomi (Hakimi 1999).

Thesis UKM 2005 BAB III

BAB III   SISTEM WANG KOMODITI: DINAR EMAS   3.1

Pendahuluan

Wang ditakrifkan sebagai apa jua medium pertukaran yang diterima oleh umum (Thirkettle 1979). Greenspan (1966) pula mendifinasikan wang sebagai the common denominator bagi semua transa…ksi ekonomi. Oleh kerana wang ialah medium pertukaran yang digunakan oleh kesemua peserta ekonomi sebagai pembayaran untuk barangan dan perkhidmatan; maka ianya dapat berfungsi sebagai piawaian nilai pasaran (standard of market value) serta penyimpan nilai atau alat tabungan. Wang dikatakan sebagai pra-syarat untuk ekonomi pembahagian buruh  (division of labor economy) yang membuka jalan untuk meraih kelebihan pengkhususan (specialization).[1]   Dewett & Varma (1990) menyenaraikan fungsi wang sebagai medium pertukaran, penyimpan nilai, piawaian mengukur nilai dan alat pembayaran tertunda. Wang memberi manfaat besar kepada kedua-dua pengeluar dan  pengguna kerana ianya mengatasi masalah sistem barter; seperti keperluan memenuhi kehendak serentak (double coincidence of wants), kesukaran membuat penilaian serta pembahagian dalam unit-unit yang kecil.   Cook (1995) di dalam The Great Gold Comeback menegaskan bahawa emas adalah komoditi yang paling menonjol di antara kesemua komoditi yang digunakan sebagai wang. Beliau berpendapat kemakmuran dan kemajuan berkembang pesat apabila emas dijadikan alat monetari. Ini disebabkan oleh kestabilan intrinsik emas. Emas juga mempunyai kelebihan berbanding komoditi lain kerana mempunyai kedua-dua kegunaan artistik dan fungsi. Ini ditambah pula dengan kuantiti emas yang relatifnya payah ditemui (Greenspan 1966).   Bab ini akan membincangkan sejarah perkembangan wang komoditi terutamanya yang berkait dengan emas dan perak. Seterusnya dinar emas dijadikan kajian kes. Mekanisme dinar emas yang dicadangkan oleh Malaysia juga diperihal.

3.2       Sejarah Dan Perkembangan Wang Komoditi

Di sepanjang sejarah manusia terdapat pelbagai komoditi yang digunakan sebagai wang. Komoditi di atas termasuklah binatang ternak, bijirin, manik-manik, cengkerang, rokok, tembaga, perak dan emas. Penggunaan wang komoditi seperti barli telah direkodkan sewaktu tamadun Mesopotamia kira-kira 4,500 tahun dahulu. Manakala wang berbentuk syiling emas diketahui bermula di Lydia, Asia Minor semenjak abad ketujuh Sebelum Masihi (Meyer 2001). Wang antarabangsa ialah  wang yang beredar untuk kegunaan transaksi melangkaui sempadan nasional. Wang antarabangsa  yang  pertama ialah drachma perak yang ditempa di Athens pada abad kelima Sebelum Masihi (Chown 1994). Dengan malapnya pengaruh Greek dan kebangkitan Empayar Rom, wang Romawi iaitu aureus emas dan denarius perak menjadi pengganti drachma. Pengaruh luas aureus dan denarius sebagai wang antarabangsa berkait rapat dengan mutu kandungan emas dan perak masing-masing.   Penurunan mutu (debasement) aureus dan denarius oleh Maharaja-maharaja Rom yang bermula semenjak Maharaja Nero (54-68 Masihi) hinggalah abad keempat Masihi, memaksa Maharaja Constantine (306-337 Masihi) memperkenalkan mata wang baru yang dikenali sebagai solidus emas (dipanggil nomisma oleh orang Greek dan bezant oleh penduduk Eropah Barat).     Gambar 3.2:   Solidus Constantinus sekitar 400  Masihi   Solidus diterima secara meluas dan dapat ditemui dari England hinggalah ke India. Solidus ditempa di Byzantium hinggalah abad ketiga belas. Lopez (1951) menggunakan istilah “dollar of the middle ages” untuk memperihalkan betapa luasnya pengaruh solidus.  Walau bagaimanapun solidus bukanlah satu-satunya wang antarabangsa sewaktu zamannya.  Dinar emas memecahkan monopoli solidus sebagai mata wang antarabangsa mulai abad ketujuh masehi (Dwyer & Lothian 2002). Dinar emas mula ditempa di Syria oleh Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan (685-705 Masihi). Dinar emas berspesifikasi sama turut ditempa di seluruh pelusuk dunia Islam. Dinar emas Bani Umayyah sekitar 703 Masihi/ 123Hijrah.   Pertengahan abad ketiga belas menyaksikan Revolusi Komersial Eropah yang memperkenalkan dua mata wang emas antarabangsa yang menggantikan solidus, iaitu genoin yang ditempa di Genoa dan fiorino (atau florin) dari Florence. Peralihan kuasa perdagangan menyebabkan pengaruh genoin dan florino diambil alih oleh ducato dari Venice pada abad keempat belas.    Cipolla (1967) yang mengkaji perkembangan monetari dari abad kelima hingga tujuh belas menyenaraikan tiga ciri  persamaan pelbagai wang antarabangsa. Pertama, mempunyai nilai kesatuan yang tinggi (high unitary value). Ini bermakna wang-wang tersebut mudah dibahagikan kepada unit-unit yang kecil. Kedua, mempunyai kestabilan intrinsik. Ini merujuk kepada spesifikasi kandungan dan ketulenan emas yang tetap.[2] Beliau mendapati apabila debasement berlaku, mata wang itu terhenti menjadi wang antarabangsa yang dominan. Ketiga, dikeluarkan oleh gergasi ekonomi yang aktif dalam perdagangan antarabangsa. Cipolla mendapati bahawa solidus, dinar, genoin, fiorino, ducato dan kesemua wang antarabangsa diadopsi (adopted). Tidak ada satu pun wang-wang  di atas direka untuk dijadikan wang antarabangsa. Kesemuanya mengalami evolusi sehinggalah diterima pakai melangkaui sempadan nasional masing-masing. Berbeza dengan sistem wang fiat kini; semua wang komoditi tersebut mencapai status wang antarabangsa tanpa paksaan undang-undang, tanpa campurtangan organisasi monetari antarabangsa dan tanpa ugutan ahli-ahli politik (Dwyer & Lothian 2002). Dengan kata lain, kesemua mata wang tersebut mencapai status tinggi disebab keutamaan ekonomi bukan melalui perancangan sistematik politik.      Pada abad keenam belas pusat perdagangan antarabangsa beralih daripada negara-negara kota (city- states) Itali kepada Republik Belanda. Amsterdam menjadi pusat kewangan utama kerana Belanda pada waktu itu merupakan kuasa ekonomi dan maritim terunggul di Eropah.  Di penghujung abad keenam belas terdapat lebih 800 syiling asing yang diterima untuk transaksi di Belanda (Dehing & ‘t Hart 1997). Dari pelbagai syiling yang ada, guilder perak muncul sebagai mata wang utama.     Gambar 3.5:   1 guilder perak sekitar tahun 1795     Terdapat perbezaan di antara guilder dan mata wang antarabangsa sebelumnya iaitu guider menpunyai dua versi. Versi pertama ialah guilder perak yang beredar sebagai medium pertukaran.  Versi kedua ialah guilder banco yang merupakan masukan deposit (deposit entries) di dalam buku kira-kira Bank of Amsterdam. Guilder banco adalah wang bank yang bersandarkan perak. Pada tahun 1638 hingga 1775, kadar tukaran di antara keduanya ialah 104.1 guilder perak bagi setiap 100 guilder banco.     Di akhir abad ketujuh belas pertumbuhan ekonomi Belanda menurun dengan ketara sedangkan pertumbuhan ekonomi England memecut (Israel 1995). Pada penghujung abad kelapan belas, England telah memintas Belanda sebagai kuasa ekonomi dan maritim. Sehubungan dengan itu pound atau pound sterling yang merupakan unit monetari England menjadi wang antarabangsa. Oleh sebab kedudukan England sebagai kuasa ekonomi dan kewangan dunia, pound telah menjadi mata wang rizab banyak negara. Zon Sterling ialah istilah yang diberi kepada negara-negara bekas jajahan Empayar British atau negara-negara Komanwel yang mempunyai rizab mata wang antarabangsa dalam pound.     Gambar 3.6:   1 pound sekitar 1922     Pound ialah wang representatif yang dapat disaling tukar dengan perak sehingga tahun 1717 di mana ianya disaling tukar dengan emas.[3] Tambatan pound dengan piawaian emas sering berubah-ubah. Pada 1797 kerajaan England meninggalkan piawaian emas tetapi kembali semula pada 1816. Piawaian emas ditinggalkan lagi semasa Perang Dunia Pertama tetapi dipakai kembali pada 1925 dan ditinggalkan lagi pada 1931. Pound dipancang kepada emas semasa Sistem Bretton Woods. Kini pound terapung dan nilainya tertakluk kepada permintaan dan penawaran di pasaran pertukaran asing.    Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa ekonomi terbesar apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengatasi England pada akhir abad kesembilan belas. Perang Dunia Pertama (1914-1918) yang berlaku di Eropah mengakibatkan pedagang dan pelabur mencari perlindungan di benua Amerika. Ini menyebabkan aliran keluar emas dari Eropah masuk ke Amerika. New York mendapat manfaat sebagai pusat kewangan dunia di atas kemalapan London. Sehubungan dengan itu, peranan pound mula diganti oleh dolar Amerika.     Gambar 3.7:   1 dolar Amerika sekitar 1928. Wang ini dapat disalingtukar dengan emas. Perhatikan perkataan “Will Pay to the Bearer on Demand” yang terdapat dalam wang di atas, tidak ada di dalam wang dolar masa kini.   Dolar Amerika telah dipilih sebagai mata wang rizab rasmi dalam sistem pertukaran tetap yang dirangka di Persidangan Bretton Woods 1944.[4] Secara tradisinya emas merupakan mata wang rizab bank-bank pusat. Mata wang rizab ditakrif sebagai mata wang asing yang disimpan oleh bank-bank pusat atau mana-mana autoriti monetari untuk tujuan exchange intervention dan penyelesaian pembayaran antara kerajaan-kerajaan.   Selepas Perang Dunia Kedua, dolar bukan sahaja menjadi wang antarabangsa tetapi menjadi mata wang domestik bagi negara selain Amerika Syarikat seperti El Salvador, Equador dan Panama.[5] Kaitan antara dolar yang bersandarkan komoditi terputus hasil tekanan inflasi akibat polisi monetari Amerika pada tahun 1971 (Dwyer & Lothian 2002). Pada masa ini tiada satu pun wang antarabangsa seperti dolar, euro[6] dan yen yang disandar sepenuhnya dengan komoditi.     Gambar 3.8:   1 dolar Amerika sekitar 1995.

3.3       Dinar Emas

Dinar emas ialah wang komoditi yang beroperasi dalam kerangka piawaian emas (Ahamed Kameel 2002). Imam Malik di dalam Kitab Al-Muwatta menjelaskan bahawa wang ialah apa-apa komoditi yang lazimnya diterima pakai sebagai bahan pertukaran. Menurut syariat Islam, tiada komoditi yang boleh dipaksakan menjadi wang kerana manusia bebas menggunakan apa sahaja komoditi sebagai tukaran.     Gambar 3.9:   1 dinar (kiri) & 1 dirham (kanan) sekitar 1992   Perkataan dinar berasal dari denarius, iaitu mata wang Romawi yang beredar sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum kedatangan baginda terdapat pelbagai syiling emas dan perak di Semenanjung Arab yang berasal dari Empayar Rom, Byzantin dan Sasanid. Sewaktu hayat Nabi Muhammad s.a.w, syiling emas yang diimport dari Empayar Byzantium digunakan untuk transaksi seiring dengan syiling perak dari Empayar Sasanid. Setelah kewafatan baginda pada 632 Masihi, syiling-syiling tersebut terus digunakan oleh Khalifah Abu Bakar sehinggalah ke zaman Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan.   Perselisihan dengan Maharaja Byzantium menyebabkan Khalifah Abdul Malik memerintahkan dinar emas dan dirham perak ditempa dengan rekabentuk baru pada 695 Masihi. Walaupun rekabentuknya baru, spesifikasi dinar dan dirham masih dikekalkan seperti amalan Nabi s.a.w ( Nik Norzul 2003). Setiap dinar mestilah ada 4.25 gram emas dan setiap dirham mengandungi 3 gram perak. Ketulenan emasnya ialah 22 carat atau 91.6% emas (Hakimi 1999). Menurut Vadillo (1996) spesifikasi dinar ditetapkan dengan piawaian 4.25 gram emas adalah berdasarkan purata berat mata wang Byzantium iaitu solidus. Piawaian menurut berat tersebut dikenali sebagai Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab. Piawaian ini menetapkan hubungan dinar-dirham sebagai berat 7 dinar bersamaan dengan berat 10 dirham.   Sejarah Islam menunjukkan bahawa dinar dan dirham telah digunakan sehinggalah berakhirnya Kerajaan Islam Turki (Hakimi 1999). Setelah tamatnya Kerajaan Islam Turki tersebut, istilah dinar dan dirham mula digunakan untuk memperihal mata wang fiat negara-negara Islam. Sebagai contoh, dinar adalah nama mata wang rasmi bagi Algeria, Bahrain, Iraq, Jordan, Kuwait, Libya, Sudan dan Tunisia. Manakala dirham digunakan sebagai nama mata wang rasmi Maghribi dan United Arab Emirates. Dinar kembali ditempa pada zaman kontemporari pada 1992 (Vadillo 1996). Ianya digunakan dalam edaran komersial di Sepanyol, Scotland, Jerman dan Afrika Selatan.[7] Di Malaysia, syiling dinar emas yang ditempa oleh The Royal Mint of Malaysia baru saja diperkenalkan pada 28 Julai 2003.[8]   Dinar dan dirham adalah sebahagian daripada Islam.[9] Hukum Syariah meletakkan peranan penting dinar dan dirham dalam sistem monetari. Hukum-hukum Syariah yang melibatkan dinar dan dirham terdapat dengan jelas seperti jumlah minima yang dikira sebagai kecurian, bayaran diyah, zakat dan  ehwal perniagaan (Mahmood 2002).[10] Dinar dan dirham berkait dengan Rukun Islam yang ketiga kerana syariat zakat terkandung di dalamnya (Hakimi 1999). Vadillo (2002) menyatakan bahawa Shaykh Muhammad ‘Illish (1802-1881) seorang pakar pengajian fikah di Universiti Al-Azhar telah menyebut di dalam fatwa beliau bahawa wang kertas tidak boleh dizakatkan sebagaimana wang emas dan wang perak kerana ia dianggap sebagai fulus atau loose change.

Wang kertas tidak boleh dizakatkan kerana ianya bukan komoditi. Jika hendak dizakat juga, wang kertas mestilah ditimbang menurut berat bukan menurut nilai nominal yang tertulis di atasnya. Dengan kata lain, untuk seorang Muslim mengeluarkan zakat harta, dinar dan dirham perlu berada dalam edaran secara fizikal; bukannya berzakat berdasarkan wang kertas yang merupakan derivative dinar dan dirham.   Dalam Islam mata wang sememangnya berkait rapat dengan kerajaan. Kajian Vadillo (1996) juga menunjukkan bahawa Al-Qurtubi dalam Tafsir Al-Quran beliau telah memberi tafsiran tentang ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu.”  (An-Nisa (3):59)   Ayat tersebut merupakan perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam tujuh perkara. Perkara pertama ialah penempaan dinar dan dirham dan yang lainnya ialah penetapan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, Jumu’ah, dua Hari Raya dan Jihad. Dalam kata lain, urusan dinar ialah urusan keagamaan dan kedaulatan daulah Islam. Penggunaan dinar melambangkan kepatuhan kepada perintah Allah, bukan semata-mata urusan ekonomi (Hakimi 1999).

3.4       Cadangan Malaysia: Penggunaan Dinar Emas

“Selagi kita tidak memulakan langkah untuk merubah sistem kewangan antarabangsa yang sedia ada, selagi itulah kita akan terdedah kepada terorisme ekonomi.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcob (2002)   Pada asasnya terdapat dua sistem monetari antarabangsa iaitu sistem piawai emas dan sistem wang fiat. Terdapat pelbagai variasi sistem piawai wang emas yang diguna dalam perdagangan antarabangsa sehinggalah wang fiat menjadi dominan semenjak awal 1970-an. Semenjak 1973 sistem monetari antarabangsa beroperasi berdasarkan sistem wang fiat dengan kadar pertukaran terapung. Pergerakan turun naik mata wang menggalakkan aktiviti spekulatif yang mampu menjahanamkan nilai mata wang domestik negara.

Menurut Dr. Mahathir mata wang tidak boleh dijual beli kerana ianya tiada nilai intrinsik.[11] Beliau menyifatkan dagangan mata wang sebagai “trading in nothing”. Mata wang fiat hanyalah wang kertas yang sah diperlakukan apabila kerajaan membuat periystiharaan tentang nilainya. Jika wang sekarang tiada nilai intrinsik, maka tentulah aneh jika ianya diperdagangkan  seperti suatu komoditi.   Malaysia mencadangkan penggunaan dinar emas sebagai mekanisme untuk memudahkan dan mempertingkatkan hubungan dagang di antara negara-negara Islam. Ia juga menawarkan alternatif untuk keluar daripada sistem monetari yang tidak stabil dan tidak saksama dengan memancang urusan kewangan dengan medium yang terhad (finite), stabil dan tahan lama iaitu emas (Nor Mohamed 2002).

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 19 Ogos 2002 telah memperkenalkan konsep dinar emas dalam menyelesaikan urusan perdagangan di antara negara melalui sistem Peraturan Pembayaran Dua Hala atau Bilateral Payment Agreement (BPA). BPA diharap dapat dimajukan menjadi Peraturan Pembayaran Pelbagai Hala atau Multilateral Payments Agreement (MPA). Menurut beliau dengan penerimaan dinar emas sebagai wang sejagat akan menggalakkan kebebasan berdagang antara negara tanpa perlu terikat kepada mekanisme keperluan rizab antarabangsa seperti dolar. Beliau seterusnya menjelaskan, Malaysia sudah bersedia melaksanakan dinar emas dan akan mempromosi serta menjadi peneraju pelaksanaan mekanisme berkenaan. Mekanisme ini dinamakan Gold Dinar Proposal atau Cadangan Dinar Emas.

Menurut usul Tan Sri Nor Mohamed, dinar emas tidak akan menggantikan mata wang domestik. Dengan kata lain, dinar emas bukanlah wang sah dan kerajaan tidak akan mewujudkannya dalam bentuk fizikal seperti syiling emas. Penggunaan dinar emas terbatas di antara bank-bank pusat negara-negara yang terlibat dengan BPA. Walaupun dinar emas tidak wujud dalam bentuk fizikal tetapi nilai unitnya dirujuk kepada harga emas pada kadar semasa. Sebagai contoh, katalah seunit dinar emas dirujuk kepada satu auns emas. Jika harga pasaran satu auns emas ialah AS$300, maka nilai seunit dinar ialah AS$300. Seunit dinar emas kemudiannya boleh dibanding dengan nilai mata wang lain seperti euro, pound dan yen pada kadar pertukaran asing semasa.   Penjelasan dagangan (actual settlement for trade) boleh berbentuk pindahan emas yang setara nilainya. Ini tidak bermakna emas akan berpindah secara fizikal dari satu negara ke negara lain, tetapi cuma melibatkan pertukaran hak milik di dalam akaun penjaga emas (gold custodian’s account). Jika pindahan emas tidak dapat dilakukan, pembayaran boleh dibuat menggunakan mata wang fiat yang dipersetujui bersama.

Berikut adalah contoh mekanisme BPA: §  Dua negara misalnya Malaysia dan Arab Saudi menandatangi perjanjian pembayaran dua hala dan imbangan dagangan akan dilangsaikan setiap tiga bulan. §  Urusan dagang akan disebut (denominated) dalam dinar emas. §  Nilai dinar emas akan ditetapkan, katalah satu dinar bersamaan satu auns emas. §  Para pengeksport dari Malaysia dibayar dalam ringgit oleh Bank Negara Malaysia pada tarikh matang (due date) eksport, berdasarkan kadar tukaran ringgit/dinar emas semasa. Begitu juga sebaliknya, pengimport pula akan membayar kepada Bank Negara dalam ringgit jumlah import mereka. §  Bank Pusat Arab Saudi melakukan perkara yang sama untuk import dan eksportnya. §  Katalah, pada hujung kitar 3 bulan berakhir 31 Mac, jumlah eksport Malaysia ke Arab Saudi ialah 2 juta dinar emas manakala jumlah eksport Arab Saudi ke Malaysia ialah 1.8 juta dinar emas. §  Maka untuk kitar 3 bulan tersebut, Bank Pusat Arab Saudi akan membayar 0.2 juta dinar emas kepada Bank Negara.

Penjelasan dagangan boleh berbentuk pindahan 0.2 juta auns emas daripada akaun Bank Pusat Arab Saudi di dalam bank penjaga (custodian), katalah Bank of England di London, kepada akaun Bank Negara.   Menurut Nor Mohamed (2002) apa yang penting di dalam mekanisme ini ialah bagaimana secara relatifnya amaun sekecil 0.2 juta dinar emas mampu menampung jumlah keseluruhan dagangan bernilai 3.8 juta dinar emas. Dengan kata lain, penggunaan tukaran wang asing dapat dioptimakan. Mekanisme ini membolehkan negara-negara kecil yang tidak mempunyai amaun rizab tukaran asing yang besar untuk turut serta secara signifikan dalam perdagangan antarabangsa.   Ahamed Kameel (2004) berpendapat mekanisme BPA ini dapat mengurangkan dengan ketara (jika tidak menghapuskan terus), risiko tukaran wang asing. Beliau menambah, dinar emas dalam BPA bertindak sebagai unit akaun yang menghapuskan masalah yang bersabit dengan sistem barter. Bab seterusnya akan membincangkan halangan-halangan untuk wang komoditi seperti dinar emas untuk berdaya maju.   ……………………   [1] Alan Greenspan ialah pengerusi Federal Reserve Board Amerika semenjak 11 Ogos 1987 hingga kini.   [2] Solidus mengandungi 4.5 gram emas, manakala satu dinar bersamaan 4.25 gram emas. Genoin, fiorino dan ducato mengandungi 3.5 gram emas.   [3] Sterling berasal dari Anglo-Saxon Britain pada abad kelapan. Unit asas monetarinya ialah sterling yang  bersamaan 1/240 pound perak.   [4] Pada waktu ini (1944-1971) dolar disandarkan kepada emas dengan kadar AS$35 bagi satu auns emas.   [5] Fenomena ini dikenali sebagai dollarization.   [6] Euro ialah unit monetari European Union (EU). Mulai 1 Januari 2002, wang euro dalam bentuk syiling dan kertas berada dalam edaran di 12 daripada 15 anggota EU iaitu Austria, Belgium, Finland, Germany, Greece, Itali, Ireland, Luxembourg, Belanda, Perancis, Portugal dan Sepanyol. Euro disandar oleh 20% emas dan menggantikan semua mata wang domestik negara-negara di atas sebagai satu-satunya wang sah bermula 2 Februari 2002.   [7] Transaksi komersial dinar emas terhad  kepada sebahagian komuniti Islam. Dinar emas di atas adalah  sejenis “private money” atau wang persendirian kerana ianya bukan wang sah negara-negara berkenaan.   [8] Dinar emas keluaran Royal Mint lebih bersifat koleksi numismatik. Ianya tidak digunakan sebagai medium perantaraan transaksi komersial.

[9] Perkataan dinar dan dirham disebut didalam Al-Quran pada Surah Imran (3):75 yang bermaksud “Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi”, dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”; dan Surah Yusuf (12):20 yang berbunyi “Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.”   [10] Terdapat hadith yang menerangkan bahawa nisab atau ukuran zakat dinar emas ialah ½ keping bagi setiap 20 keping yang cukup  haulnya; manakala hudud dijalankan dalam kes kecurian yang nilainya melebihi ¼  dinar.   [11] Stable ringgit seen as key to recovery. 2/9/1998 Wawancara dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.  http://straitstimes.asia1.com.sg/klc/klc7_0902.html

Oleh: Mazli Alias


baca juga di sini :

http://www.spdrgoldshares.com/media/GLD/file

http://www.shaykhabdalqadir.com/content/sultaniyya.php

One thought on “Matawang Sebenar ialah Dinar dan Dirham

  1. Howdy!

    You Need Leads, Sales, Conversions, Traffic for jutawangold.com ? Will Findet…

    I WILL SEND 5 MILLION MESSAGES VIA WEBSITE CONTACT FORM

    Don’t believe me? Since you’re reading this message then you’re living proof that contact form advertising works!
    We can send your ad to people via their Website Contact Form.

    IF YOU ARE INTERESTED, Contact us => lisaf2zw526@gmail.com

    Regards,
    Weld

Leave a Comment

Your email address will not be published.

CommentLuv badge