Berdiri di hadapan cermin sambil mengamati rupa paras dengan teliti, kemudian menambah apa yang kurang dan mengatur apa yang patut untuk kelihatan lebih menarik adalah lebih mudah daripada memperbaiki sikap dan mentaliti peribadi.
Tubuh badan yang zahir adalah jelas berbeza dengan keperibadian sebenar yang begitu rahsia sifatnya. Hanya yang memiliki badan sahaja yang mengetahui manusia jenis apakah dia sebenarnya.
Rajin lawannya malas, usaha lawannya putus asa, pemarah lawannya pemaaf, penipu lawannya jujur, sedih lawannya gembira, sabar lawannya gopoh, membazir lawannya cermat, bersih lawannya pengotor, dan sebagainya. Kita tentu akan memilih sifat yang baik untuk membentuk jatidiri. Tetapi adakah semudah membalikkan tangan untuk merubah diri kita agar lebih baik daripada yang ada sekarang?
Kadang-kadang kita terlalu sedih memikirkan nasib diri yang tidak mahu berubah, iman semakin menipis lalu amal menjadi berkurangan yang mengakibatkan hati tercemar oleh kuman-kuman penyakit sehingga menzahirkan sikap yang negatif untuk diri dan orang di sekeliling kita. Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah dalam jasad manusia ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah jasad itu dan jika ia rosak maka rosaklah jasad itu, itulah yang dinamakan hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Apabila ada orang lain cuba menilai diri kita yang sakit dan banyak kelemahan, emosi kita akan menggelodak naik mengalahkan kewarasan akal untuk menafikan penilaian tersebut. Ketika itu ketahuilah bahawa kita telah menolak untuk mengenal diri sendiri dari perspektif orang lain, bahkan menutup pintu kebaikan pada sekeping hati dalam diri. Ada pepatah mengatakan: “Sungguh rugi orang yang tidak ada musuh kerana daripada musuhlah kamu mengenal dirimu.” Imam al-Ghazali berpesan: “Berwaspadalah dengan musuhmu satu kali tetapi dengan sahabatmu seribu kali.” Sifat sahabat yang baik dan sentiasa memihak pada diri kita akan menghijab segala kelemahan diri. Berlawanan dengan musuh yang sentiasa mencari keaiban dan kekurangan untuk menyingkap rahsia diri kita.
Adakah anda bersedia menilai diri sendiri? Apakah kekuatan dan kelemahan peribadi anda? Bagaimanakah hendak membentuk jati diri mukmin yang dituntut Allah?
Pertama, cari dan akui kelemahan diri, senaraikannya dengan jujur, terimalah ia sebagai tantangan yang harus dihadapi. Jangan ulangi kesilapan yang lalu. Konsep ini disebut konsep taubat. Tahu kesilapan, mengakuinya dan berjanji tidak akan mengulangi. Sabda Rasulullah SAW: ”Orang mukmin tidak akan terjatuh ke dalam satu lubang dua kali.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kedua, hidup bersama dengan orang yang berjaya, bandingkan diri sendiri dengan mereka dan tutupi kelemahan dengan kelebihan mereka. Orang yang kurang bijak hendaklah merujuk kepada yang lebih bijak, yang malas bekerja hendaklah mengikut jejak yang rajin, yang lemah semangat mencari kekuatan pada yang berhati waja, yang miskin mengambil iktibar pada si kaya, yang malas beramal duduklah bersama dengan ahli ibadah, yang jahil belajar pada yang alim.
Konsep ini dikenali sebagai konsep Ta’awun iaitu bekerjasama dengan tulus ikhlas untuk sama-sama menjadi hamba Allah yang terbaik. Ia boleh menjadi sumber kekuatan jati diri setiap mukmin. Firman Allah SWT: ”Bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan takwa jangan bertolong-tolongan dalam kejahatan dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah: Ayat 2)
Ketiga, jangan berhenti mengukur prestasi diri. Setiap hari penilaian jati diri kita hendaklah berjalan dengan telus dan jujur. Kenalpasti kelemahan dan bagaimana hendak meningkatkan kekuatan yang ada. Sembahyang wajib boleh ditambah dengan yang sunat dan lebih khusyuk dari kelmarin. Nafsu amarah diubat dengan berpuasa dan sedekah. Konsep ini dikenali sebagai konsep Muhasabah (Akauntabiliti diri).
Peningkatan kualiti kerja yang seiring dengan kualiti iman akan melahirkan pekerja yang mahir dan amanah, dedikasi dan profesional, serta kuat beribadah. Ukuran penilaian kita hendaklah mengikut neraca Allah yang Maha Menghisab. Jangan melakukan sesuatu kecuali kita telah memastikan perbuatan itu menghasilkan kebaikan dan pahala serta keredhaan Allah. Kerana dunia ini tempat bercucuk tanam dan akhirat nanti jerih payah kita akan berbuah. Firman Allah SWT: ”Dan adapun orang yang berat timbangan kebaikannya, maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan. Dan adapun orang yang ringan timbangan kebaikannya, maka tempat kembalinya adalah neraka hawiyah.” (Surah Al-Qariah: Ayat 6-9)
Ketiga-tiga konsep ini boleh menjadi penjana kuasa kehebatan peribadi mukmin. Taubat, ta’awun dan muhasabah. Jangan biarkan diri dalam pandangan hina manusia yang mengakibatkan Allah SWT langsung tidak akan memandang diri kita kerana kita tidak ada kekuatan jati diri mukmin yang hebat. Hanya dengan jati diri mukmin yang sebenar, ketamadunan dan kecemerlangan umat Islam akan dapat ditonjolkan.
Oleh: S.S. Dr. Juanda bin Jaya, Mufti Kerajaan Negeri Perlis

