Ketika kita meninggalkan penggunaan dinar dan dirham dan beralih kepad wang kertas,maka secara tidak langsung kita telah melepaskan kekuatan ekonomi dan politik dunia dari tangan orang Islam kepada bukan Islam.Apabila memperkatakan mengenai dinar dan dirham,orang Islam wajib menyokong syariah Islam tetapi dalam konteks amalan dunia sekarang,perjanjian perdagangan antarabangsa menjadi penghalang kepada penggunaan emas dan perak sebagai matawang.
Hakikatnya,sistem wang komoditi seperti emas telah diganti kepada sistem wang kertas yang berpaksikan dolar Amerika (USD).Wang dollar Amerika ini tidak disandarkan kepada emas,sebaliknya nilainya turun naik mengikut gelora permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing.
Walaupun halangan besar dunia sedang menunggu,ia tidak menghalang umat Islam mencipta iklim ekonomi yang mesra syariah Islam seperti yang diperjuangkan Prof Umar Ibrahim Vadillo dan rakan-rakannya.Walaupun beberapa pemimpin dunia Islam seperti mantan Presiden Turki,Morocco dan Malaysia berminat,hakikatnya ia belum berjaya di peringkat negara tetapi dilaksana di Negeri Kelantan.

Sehubungan itu,Yang Dipertua,Persatuan Ulama Malaysia (PUM),Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir mahu umat Islam memulakan usaha menjadikan dinar sebagai satu bentuk simpanan harta,digunakan sebagai mas kahwin,membayar zakat atau dijadikan harta cagaran di pusat gadaian al-Rahn.
Selain itu,ulama sendiri mesti berganding bahu mengambil tempat di barisan hadapan untuk membimbing serta memimpin ummah agar bermuamalat menggunakan dinar dan dirham.
Dalam konteks negara,Bank Negara Malaysia disarankan segera memainkan peranan mereka dalam merealisasikan penggunaan dinar di dalam masyarakat di negara ini.Ia tidak sepatutnya dihalang atau menyukarkannya kerana ia telah dihalalkan oleh Allah SWT.
Pemimpin negara pula boleh memainkan peranan di peringkat antarabangsa seperti Persidangan Negara Islam (OIC) mencari jalan dan beriltizam menjadikan dinar sebagai mekanisme pasaran perdagangan global untuk digunakan sekurang-kurangnya di peringkat negara Islam bagi mengatasi masalah penyangak mata wang.
Ketika menyampaikan ucaptama penerangan Mini Siri Dinar Emas di Kuala Lumpur baru-baru ini,Syeikh Abdul Halim berkata,umat Islam perlu sedar,usaha memperkenalkan semula serta memperkukuhkan kembali matawang syariah dalam muamalah ummah tidak seharusnya dilihat sebagai satu tindakan politik sesetangah pihak.
Pada ketika kita meninggalkan penggunaan dinar dan dirham dan beralih menggunakan wang kertas,maka secara tidak langsung kita telah melepaskan kekuasaan ekonomi dan politik dunia dari tangan umat Islam dan berpindah kepada kuasa lain iaitu Inggeris dan kini Amerika Syarikat.
Syeikh Abdul Halim menambah,melalui penggunaan matawang dinar dan dirham seperti dalam urusan pembayaran zakat,kekayaan umat Islam sentiasa berada di kalangan umat Islam kerana emas dan perak sentiasa berkitar di antara umat Islam.Jika dilihat dari sudut positif,penggunaan emas sebagai matawang terbukti mempunyai kelebihan kerana sejak berkurun lamanya ia stabil dan kestabilan dapat mengelak daripada berlakunya inflasi dan krisis kewangan.
Selain itu,emas tidak boleh dicetak sewenang-wenangnya.Jadi nilainya tidak mungkin susut atau jatuh seperti wang kertas dan nilai emas tidak perlu disandarkan kepada mana-mana kerajaan seperti mana wang kertas sedia ada.Ia juga bukannya liabiliti mana-mana pihak.
Jadi ramai pakar berpendapat alasan mengapa sistem wang komoditi seperti emas dan perak tidak dilaksanakan bukannya berpunca dari kekangan atau kekurangan teknikal tetapi disebabkan kekurangan kemahuan.Sikap itu yang perlu diubah kerana dinar dan dirham mampu menggantikan sistem kewangan konvensional.
Artikel Majalah Milenia Muslim,Februari oleh Jamudin Idris