Dosa tak diampun jika lengah bayar hutang
KONSEP berhutang menurut perspektif Islam ialah memberikan sesuatu kepada seseorang dengan perjanjian bahawa orang yang diberi pinjam itu akan membayar dengan kadar sama.
Amalan berhutang kini menjadi persoalan biasa di kalangan masyarakat Islam. Sama ada ia atas nama pembiayaan peribadi, pelajaran, kereta, pemilikan kad kredit dan pelbagai skim ditawarkan syarikat perbankan, rata-rata ia memberi maksud hutang. Malah, kewujudan ‘Ah Long’ juga adalah mata rantai kepada urusan pinjaman dan hutang.
Persoalan hutang dan pinjam meminjam adalah antara perbahasan yang berada dalam ruang lingkup perspektif Islam dan ia terikat dengan hukum ditetapkan syarak. Ianya dibahas dan dikupas oleh sarjana Islam dalam kitab fiqh menerusi keterangan yang ada dalam ayat al-Quran dan Hadis Nabawiyah.
Firman Allah S.W.T bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya” (Surah al-Baqarah ayat 282).
Secara dasarnya Islam membolehkan kepada seseorang untuk berhutang atas faktor yang memaksa seperti masalah kesempitan hidup. Namun begitu, perlu diperjelaskan di sini bahawa bebanan bakal diterima si penghutang adalah berat, terutama jika hutang tidak dibayar. Lebih berat jika dia meninggal dunia dalam keadaan hutang tidak dilangsaikan.
Perkara zalim dalam urusan hutang piutang mesti dielakkan dan dijauhkan seperti mengenakan riba’, faedah dan bunga yang tinggi kerana ia ternyata membebankan si penghutang. Lebih parah dengan kadar bunga yang terlalu tinggi menyebabkan berlaku nilai bunga yang sepatutnya dibayar semula jauh lebih tinggi daripada kadar wang dipinjam. Ia ternyata penganiayaan kepada manusia lemah dan tidak berkemampuan.
Kepada orang berhutang pula, sebaik-baiknya berusaha dengan tangan sendiri sebelum mengambil keputusan meminta-minta atau berhutang dengan orang lain. Orang yang suka berhutang seolah-olah menafikan kebolehan yang ada pada dirinya untuk berusaha sendiri mencari rezeki keperluan hidup.
Sebaik-baiknya cubalah elakkan diri daripada berhutang. Namun, apabila keadaan terlalu mendesak dan tiada jalan lain untuk memperoleh wang, maka di sinilah Islam membenarkan amalan berhutang.
Apabila sudah mula meminjam, aturkan jadual pembayaran hutang secara berterusan dan konsisten mengikut jadual serta menepati syarat perjanjian supaya tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari. Cuba elakkan daripada mengambil kesempatan melambat-lambatkan pembayaran hutang kerana ia bukan sahaja menyusahkan diri sendiri malah kepada orang yang memberi hutang.
Ada beberapa ingatan daripada Rasulullah kepada mereka yang berhutang, sama ada yang suka berhutang, melambat-lambatkan pembayaran hutang atau mereka yang tidak melangsaikan hutangnya.
Rasulullah turut memberi ingatan bahawa jika seseorang itu meninggal dunia, sedangkan dia masih berhutang, dosanya tidak akan diampunkan walaupun dia mati syahid dalam peperangan.
Seseorang yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman. Rasulullah bersabda yang maksudnya “penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman”.
apabila kita berhutang untuk perkara yang tidak perlu atau untuk tujuan yang tidak mendatangkan manfaat, maka kita sebenarnya telah menjerumuskan diri ke dalam satu kemelut kehidupan.
Kemelut ini ada kaitan dengan masalah kebebasan dan masa. Orang yang dibebani hutang akan hilang kebebasan kerana jika dia bekerja, pendapatan yang diperolehi terpaksa digunakan untuk membayar hutang. Jadi dia hilang kebebasan untuk menggunakan wang tadi bagi melakukan apa yang diingininya. Ibarat seorang banduan yang menjalani program pelepasan-kerja penjara (prison work release program), orang yang berhutang akan merasakan bahawa fikirannya terpenjara akibat bebanan kewangan tadi.
Selain hilang kebebasan, orang yang dibelenggu hutang juga hilang nikmat penggunaan masa untuk tujuan rehat, bersama keluarga dan sebagainya. Kebanyakan masanya akan dihabiskan untuk bekerja bagi membayar hutang.
Dalam Islam, tidak ada nas yang menyarankan kita supaya berhutang.
Apa yang menjadi masalah sekarang yang dikaitkan dengan jenayah along atau kes muflis ialah berhutang untuk tujuan yang kurang baik seperti berjudi, bergaya atau menunjuk-nunjuk.
Dengan kata lain, bila kita berhutang tak kena pada tempatnya atau berhutang untuk perkara yang tidak perlu atau mendesak, maka kita sebenarnya telah menempah kesusahan.
Sementara itu, sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu ketika menurunkan jenazah dari atas rumah menuju ke tanah perkuburan, waris si mati akan mengumumkan kepada orang yang hadir supaya menuntut mana-mana hutang yang ditinggalkan si mati.
Berkaitan hutang juga, roh si mati hanya akan bebas selepas segala hutangnya dijelaskan oleh warisnya atau sesiapa yang sanggup mengambil alih untuk menjelaskan hutangnya itu seperti orang perseorangan mahupun baitulmal.
Entahlah. Kalau hutang untuk pelaburan emas rasanya tak rugi kot sebab jika takdir kita tak dapat bayar hutang ar rahnu, emas kita akan diambil, jadi lupus lah hutang kita. Tiada orang yang akan rugi dalam hutang yang tiada riba dan ada cagaran.
rugi tu soal no 2..soal no 1,tujuan berhutang tersebut..bukankah dlm islam kita tdk digalakkan membuat hutang sebarangan..dan pd pndangan sy..nk kata tiada riba tu mcm kurang tepat sedikit..sy hnya berkongsi apa yg sy dpt dri mereka2 yg membuat sedikit kajian berkenaan ar rahnu..terpulanglah kpd penerimaan masing2..